Tinta Ibnu Ariff

Sebuah jurnal dalam bahasa ibunda, melatih diri, mengekalkan bahasa dan kesantunan.

Friday, February 17, 2006

Jawi oh Jawi

Jawi; penulisan Bahasa Melayu dalam abjad arab yang diubahsuai. Berapa ramai lagi agaknya pegamal Jawi yang aktif sekarang ini? Mungkin tinggal tok-tok guru agama di surau-surau dan masjid. Itu pun tinggal baca kitab-kitab lama sahajalah, akhbar dalam tulisan jawi pun dah berkubur baru-baru ni. Generasi muda? Tak tahu pun apa beza tulisan jawi dengan arab agaknya. Paling kuat pun tahu membaca jawi agaknya (seperti empunya diri) tapi tak tahu menulis.

Salah satu faktor kejatuhan Jawi ialah kekurangan bahan bacaan dan amalan. Kalau membaca pun tidak, apatah lagi hendak menulis? Tambah rumit pula bila ada perubahan sistem ejaan - antara apa yang dipelajari di sekolah dahulu dengan ejaan dalam Utusan Melayu sudah jauh berbeza. DBP pula tak mahu menyenaraikan daftar ejaan secara terbuka di internet, kita pula yang perlu beli bukunya. Masalahnya amat sukar mendapatkan buku tu!

Agaknya DBP pun pening kepala hendak menyenaraikan dalam internet kerana kebanyakkan komputer tidak menyokong pemaparan aksara jawi. Tiada satu piawai fon yang dipersetujui semua untuk penulisan jawi di internet. Hal ini membuatkan kekurangan bahan bacaan jawi semakin parah kerana orang ramai tidak boleh menyebar luaskan penggunaannya. Kalau tidak, mungkin ramai yang menulis blog dalam tulisan jawi.

Bagi sesiapa yang hendak menulis jawi di komputer bolehlah muat turun aplikasi Jawi Multikey di http://www.al-azim.com/masjid/jawi.htm.

Selamat mencuba!

Wednesday, February 01, 2006

Hujan Emas Di Negeri Orang...

Hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri - baik lagi hujan batu di negeri. Itulah pepatah/peribahasa tradisional Melayu. Bila difikir-fikir balik ada logiknya hujan batu lebih baik dari hujan emas. Hujan batu sebenarnya hujan ais yang asalnya salji yang disejukbekukan berkali-kali di awan yang tinggi. Perlindungan cukup sekadar di dalam rumah lebih-lebih lagi rumah batu. Sekeras-keras hujan batu keras lagi batu-bata!

Tapi lain pula ceritanya dengan hujan emas. Kalau hujan emas itu dintepertasikan sebagai hujan emas dalam bentuk cecair maka padahlah jawabnya. Bayangkan berapa ratus/ribu celcius suhu emas lebur! Kalau terkena melecur jadinya. Bumbung rumah pun boleh bocor.

Bagaimana pula kalau hujan emas itu dalam bentuk butiran kecil? Bila emas boleh didapati di mana-mana macam pasir maka jatuhlah harganya! Rugilah siapa yang menyimpan aset dalam bentuk emas. (Harga emas sekarang naik - untunglah kaki beli emas)

Apapun, dua-dua tak bagus sebenarnya. Paling bagus hujan air biasa yang suci bersih. Barulah bumi subur menghijau, sungai mengalir cantik.

Salam Maal Hijrah.