Tinta Ibnu Ariff

Sebuah jurnal dalam bahasa ibunda, melatih diri, mengekalkan bahasa dan kesantunan.

Thursday, August 19, 2004

Mencari Locus Standi

Mungkin rakan-rakan saya masih ingat lagi pada Anyss Sophelia, salah satu cerpen yang dimuatkan dalam teks wajib Komponen Sastera Bahasa Melayu SPM. Suatu karya fantasi yang ternyata berbeza dari cerpen-cerpen yang lain dan menjadi salah satu teks kegemaran pelajar. Kali ini penulisnya, Nisah Haron telah menghasilkan novel Mencari Locus Standi, yang memenangi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2003 bagi Kategori Novel Remaja.

Dengar sahaja tajuknya kita sudah dapat menerka persoalan apa yang dibawa, yakni perundangan. Nisah Haron memang antara yang terbaik menggarapkan isu perundangan dalam novel kerana dia sendiri seorang peguam. Oleh itu, semua prosedur perundangan dalam novel ini adalah tepat dan nyata.

Kisah ini berkisar tentang E-Jay (Eliza Jasmin), seorang pelajar undang-undang di UKM. Dia juga anak angkat seorang peguam ternama Emir Johan. Walaupun sekadar anak angkat, kehidupannya bahagia bersama Emir Johan dan ibu tirinya Ibu Mustika, yang juga seorang Professor Madya di UKM.

Namun, cabaran datang menimpa. Emir Johan pergi menghadap Ilahi. Sungguhpun ada wasiat yang jelas memberi hak Emir Johan dalam firma guamannya kepada E-Jay namun begitu dua orang adik-beradik Emir Johan datang menuntut hak. Kononnya Emir Johan membuka firma itu bermodalkan duit mereka.

Seterusnya diceritakan bagaimana E-Jay dan Ibu Mustika mempertahankan haknya dan dalam masa yang sama berhadapan dengan pelbagai konflik yang lain. Mujur ada sahabat yang sentiasa di sampingnya, membantu dan memberikan sokongan. Sesungguhnya novel ini menggambarkan kegigihan wanita.

Apa kesudahannya? Silalah dapatkannya di pasaran, RM17 sahaja. Cukup berbaloi bagi sebuah karya bermutu tinggi seperti ini.

Thursday, August 12, 2004

Kau Ilhamku

Beribu bintang dilangit
Kini menghilang
Meraba aku dalam kelam
Rembulan mengambang
Kini makin suram
Pudar ilhamku tanpa arah

Sedetik wajahmu muncul
Dalam diam
Ada kerdipan ada sinar
Itukah bintang atau rembulan
Terima kasih kuucapkan

Izinkan kumencuri bayangan wajahmu
Izinkan ku mencuri khayalan denganmu
Maafkanlah oh...
Andai lagu ini
Mengganggu ruangan hidupmu
Kau senyumlah oh...
Sekadar memori
Kita di arena ini
Kau ilhamku
Kau ilhamku...


Lagu ini selalu bermain di benakku, terutama tatkala aku berkarya. Sesungguhnya selalu aku 'mencuri bayang' semasa berkarya. Izinkanku berbuat demikian wahai sahabat-sahabatku, kerana anda semua adalah sumber ilhamku.