Tinta Ibnu Ariff

Sebuah jurnal dalam bahasa ibunda, melatih diri, mengekalkan bahasa dan kesantunan.

Tuesday, July 13, 2004

GETAR

GETAR ialah Grup Penggiat Sastera, salah satu persatuan yang ada di Pusat Matrikulasi UIA ini. Biasanya pelajar dari aliran Sains Kemanusiaan sahaja yang menyertai GETAR tetapi semalam akhirnya saya memutuskan untuk menyertai. Walaupun aktiviti utama GETAR lebih kepada pementasan lakonan dan pentomin yang saya langsung tak berbakat, saya sertai juga. Tujuan utama ialah mencari rakan-rakan yang sama berminat dalam bidang penulisan, dan berkenalan dengan pelajar-pelajar dari program yang lain. Saya berkenalan dengan saudara Azhari dari program Sains Fizikal - seorang penulis sajak yang berbakat. Dalam masa beberapa minggu di sini sahaja telah banyak sajak yang dihasilkannya. Azhari juga menulis cerpen tetapi sayangnya karyanya itu tiada bersamanya kalau tidak boleh juga saya belajar dari penulisannya.

Malam ini penuh perjumpaan, pukul 8 persatuan pelajar kejuruteraan, pukul 9 perjumpaan GETAR dan pukul 10 perjumpaan Hisbah dengan warden asrama. Mujur juga di siang hari ini tidak terlalu sibuk, kelas 3 jam sahaja hari ini.

Thursday, July 08, 2004

Kembali ke Bahasa Ibunda

Sudah terlalu lama tidak menulis dalam Bahasa Melayu dalam ertikata yang sebenar, menggunakan perkataan dan tatabahasa yang tepat. Usai sahaja SPM penggunaan bahasa ibundaku sudah jadi carca-marba, bercampur-aduk dengan loghat, slanga dan bahasa asing. Mujur ada projek eNovel: Jangan Ada Dendam yang membolehkan diriku berlatih, itupun perlu diedit oleh Sri Diah. Siri pertama olehku sahaja yang tidak perlu diedit banyak tetapi selepas itu terlalu banyak penambahbaikan dilakukan oleh Sri Diah, sehingga aku sendiri tidak tahu di mana ayat-ayat yang asal. Sudahlah begitu, salinan karya asalku telah hilang entah ke mana. Harapnya Sri Diah dan MBA ada menyimpan salinan-salinan asalku itu.

Nampaknya memang nyata penguasaanku dalam bahasa ibundaku semakin lemah. Semasa aku di bangku sekolah dahulu pun markah Bahasa Inggeris senantiasa lebih tinggi dari Bahasa Melayu. Syukur untuk SPM gred kedua-dua bahasa itu setara. Bila berhubung banyak menggunakan Bahasa Inggeris, SMS boleh dikatakan dalam 80 peratus dalam bahasa keduaku itu, bakinya itu pun dalam Bahasa Melayu 'versi SMS' serta diselang-seli dengan perkataan Bahasa Arab seperti ana, anta, kaifa halik dan sebagainya.

Mungkin tiada kisah menarik di sini, tiada gosip panas mahupun luahan rasa hatiku. Jurnal ini sekadar latihan, memastikan keutuhan bahasa ibunda. Diharap sesiapa yang mahir dalam selok-belok Bahasa Melayu dapat menegur sebarang kesilapan dan kesalahan yang ada.

Wallahualam.

Selamat Datang!

Assalamualaikum dan selamat datang ke http://tinta.ibnuariff.com - sebuah jurnal dalam bahasa ibunda. Diwujudkan atas kesedaran kurangnya penggunaan bahasa yang betul, asyik bercampur-baur dengan loghat dan slanga serta bahasa asing. Di Taman Ilmu dan Budi ini, bahasa ibunda tidak digunakan dalam urusan rasmi oleh itu harus berlatih demi mengekalkan keutuhan bahasa.

Coretan lalu dalam bahasa ibunda:

  • Siri 87 - Jangan Ada Dendam

  • Siri 79 - Jangan Ada Dendam

  • Siri 65 - Jangan Ada Dendam

  • Siri 60 - Jangan Ada Dendam

  • Siri 57 - Jangan Ada Dendam


  • Terima kasih kepada Sri Diah dan MBA atas galakan serta tunjuk ajar.