Tinta Ibnu Ariff

Sebuah jurnal dalam bahasa ibunda, melatih diri, mengekalkan bahasa dan kesantunan.

Thursday, July 08, 2004

Kembali ke Bahasa Ibunda

Sudah terlalu lama tidak menulis dalam Bahasa Melayu dalam ertikata yang sebenar, menggunakan perkataan dan tatabahasa yang tepat. Usai sahaja SPM penggunaan bahasa ibundaku sudah jadi carca-marba, bercampur-aduk dengan loghat, slanga dan bahasa asing. Mujur ada projek eNovel: Jangan Ada Dendam yang membolehkan diriku berlatih, itupun perlu diedit oleh Sri Diah. Siri pertama olehku sahaja yang tidak perlu diedit banyak tetapi selepas itu terlalu banyak penambahbaikan dilakukan oleh Sri Diah, sehingga aku sendiri tidak tahu di mana ayat-ayat yang asal. Sudahlah begitu, salinan karya asalku telah hilang entah ke mana. Harapnya Sri Diah dan MBA ada menyimpan salinan-salinan asalku itu.

Nampaknya memang nyata penguasaanku dalam bahasa ibundaku semakin lemah. Semasa aku di bangku sekolah dahulu pun markah Bahasa Inggeris senantiasa lebih tinggi dari Bahasa Melayu. Syukur untuk SPM gred kedua-dua bahasa itu setara. Bila berhubung banyak menggunakan Bahasa Inggeris, SMS boleh dikatakan dalam 80 peratus dalam bahasa keduaku itu, bakinya itu pun dalam Bahasa Melayu 'versi SMS' serta diselang-seli dengan perkataan Bahasa Arab seperti ana, anta, kaifa halik dan sebagainya.

Mungkin tiada kisah menarik di sini, tiada gosip panas mahupun luahan rasa hatiku. Jurnal ini sekadar latihan, memastikan keutuhan bahasa ibunda. Diharap sesiapa yang mahir dalam selok-belok Bahasa Melayu dapat menegur sebarang kesilapan dan kesalahan yang ada.

Wallahualam.

2 Comments:

WaWa said...

Walau dimana pun kita berada, kekalkan penggunaan bahasa Melayu sedaya yang boleh kerana itu bahasa kita. Orang luar begitu mengagungkan bahasa mereka, kenapa tidak kita? Sebaliknya, kita lebih taksub pada bahasa mereka.

Tahniah, terus berusaha!

( Saya pun ada minat menulis novel, tapi 'rajin' tu tak ada. :p )

7:03 PM  
Ibnu Ariff said...

This post has been removed by a blog administrator.

7:22 PM  

Post a Comment

<< Home